November 15, 2011

Hati Yang Baik

Anak muda di hadapan saya terus mengasak saya dengan hujah-hujah logiknya. Senang melihat anak muda yang berani dan berterus-terang begitu. Hujahnya tajam dan menikam. "Tidak semestinya wanita yang menutup aurat itu baik, " tegasnya.

"Saya kenal beberapa orang wanita yang menutup aurat... perangai mereka ada yang lebih buruk berbanding wanita yang tidak menutup aurat," tambahnya lagi.

Saya diam melihat dia berhujah dengan akal dan pengalaman. Namun pengalamannya agak terbatas. Berapa ramai wanita yang dikenalinya dalam usia semuda itu? Dan akalnya juga terbatas – aqal perlu dirujuk kepada naqal. Mesti memahami prinsip ilmu wahyu terlebih dahulu, kemudian barulah kita bebas menggunakan fikiran dan pengalaman tanpa terbabas.

"Sebenarnya, apa yang cuba awak sampaikan?" tanya saya lembut.

"Saya nak tegaskan bahawa wanita yang baik tidak semestinya menutup aurat."

"Justeru, wanita yang jahat itu ialah wanita yang menutup aurat?" jolok saya melayan pola logiknya berfikir.

"Er, er, bukan begitu. Maksud saya, baik atau buruknya perangai seseorang wanita tidak bergantung pada pakaiannya, samada dia menutup aurat atau tidak."

"Apa ukuran awak tentang nilai kebaikan seorang wanita?" kilas saya tiba-tiba.